- Semasa dasar ini diperkenalkan di zaman Tun Dr Mahathir, antara hujah yang dikemukakan ialah bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu diperingkat antarabangsa dan dengan mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan mempercepatkan lagi penguasaan generasi muda dalam kedua bidang ini. Kalau inilah hujahnya kenapa Filipina dan beberapa negara Afrika tidak maju malah jauh lebih mundur dari sudut sains dan teknologi berbanding negara kita walaupun mereka menggunakan bahasa tersebut sebagai bahasa perantaraan atau bahasa rasmi. Kenapa pula negara seperti Jepun,Korea dan Perancis sangat maju sehingga berjaya menghasilkan tokoh-tokoh yang diberi anugerah Noble dalam bidang sains dan teknologi sedangkan tokoh-tokoh tersebut lansung tidak tahu berbahasa Inggeris. Saintis Iran sudahpun berjaya menghasilkan teknologi angkasalepas dan melancarkan satelit tanpa perlu bersandar kepada teknologi barat. Alangkah dangkalnya hujah tersebut dan hasilnya anak-anak kita dijadikan tikus makmal untuk mempertahankan ego pembuat dasar.
- Para cendikiawan negara hari ini adalah hasil dari pendidikan kebangsaan bertunjangkan Bahasa Melayu.Ketika dasar pendidikan dalam Bahasa Melayu digubal,antara tujuannya adalah untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu hingga ditubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk tujuan tersebut. Setelah sekian lama dasar ini dijalankan, kenapa tiba-tiba dikatakan dasar ini gagal?Kenapa diperkenalkan satu dasar yang tidak dikaji dan dibahaskan dengan mengambil kira pendapat pakar-pakar pendidikan serta para cendikiawan. Apakah sebenarnya yang hendak dibuktikan oleh pembuat dasar ketika itu?
- Seperkara yang amat menghairankan ialah dimana pejuang bahasa dan cendikiawan Melayu ketika itu.Kenapa tidak bersuara dan menunjukkan penentangan secara terbuka walaupun mereka tahu akibat dasar ini kepada anak bangsa dan bahasa melayu itu sendiri. Kenapa baru sekarang hendak bersuara setelah sekian ramai anak-anak kita menjadi mangsa dasar yang diperkenalkan secara membuta tuli ini?
- Dipenghujung tahun 2008 diadakan persidangan meja bulat oleh Kementerian Pelajaran bagi mengkaji semula dasar ini. Apa yang nyata ialah Kebanyakan cendikiawan Melayu (termasuk Prof Di Raja Ungku Aziz) menentang dasar ini yang dianggap satu kegagalan dan merosakkan sistem pendidikan. Walaupun begitu sehingga ini tiada keputusan dibuat tentang masa depan dasar ini yang menjadi tulang belakang sistem pendidikan diabad ke21.Yang melucukan lagi ialah turut dijemput pakar pendidikan dari Australia bagi membincangkan dasar pendidikan Nasional. Dah 50 tahun merdeka pun tapi mentaliti tidak merdeka dan masih perlu bertuankan orang putih.Apa lah yang orang putih tu boleh katakan tentang sistem pendidikan negara.Cubalah tanyakan dia bolehkah kedua subjek ini diajar dalam bahasa Melayu dinegaranya.
Aku banyak bertanya kepada para pendidik yang rata-rata menyatakan bahawa dasar ini gagal. Matapelajaran perlu diajar menggunakan bahasa ibunda dan ini adalah dasar yang dipraktikkan dimana-mana negara sekalipun. Anak-anak Melayu amat sukar untuk meminati subjek Sains dan Matematik sejak dulu lagi dan ini satu kenyataan. Bagaimana pula hendak minat jika diajar dalam bahasa yang mereka sendiri tidak mahir dan faham. Berapa ramai anak-anak Melayu yang tercicir kerana dasar ini. Cuba lah fikir bagaimana anak-anak dipendalaman hendak menguasai bahasa yang amat asing bagi mereka apa lagi mak bapak mereka. Kementerian tidak sepatutnya menjadikan sekolah-sekolah diBangsar,Damansara atau Petaling Jaya sebagai kayu pengukur kerana rata-rata anak-anak ini mengunakan Bahasa Inggeris dalam kehidupan harian mereka. Tak percaya cubalah bercampur dengan golongan Elit ini. Mereka tidak menjadi mangsa dalam hal ini malah merekalah yang memperoleh kelebihan dari dasar ini.
Kementerian Pelajaran mengatakan bahawa dasar ini berjaya sedangkan Kementerian tidak mengemukakan angka yang sebenarnya. Apa yang saya dengar ialah peratusan untuk penggredan UPSR diturunkan. Apa tujuannya kalau tidak untuk memuaskan hati Pak Menteri dan itulah yang hendak didengarnya. Hanya yang lunak-lunak sahaja.
Kadang-kadang terfikir dibenak apakah sebenarnya agenda disebalik dasar ini yang nyata digubal secara terburu-buru. Aku teringat kepada seorang teman (yang tentunya seorang elitis Melayu dan gemar berbahasa Inggeris). Anaknya berjaya mendapatkan A dalam semua subjek UPSR kecuali Bahasa Melayu. Aku sendiri sangsi bahawa kebanyakkan Menteri-menteri Melayu dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan berbahasa Melayu di rumah ( teringat dengan Tan Sri Ahmad Sarji yang berucap dalam bahasa Inggeris ketika merasmikan persidangan Bahasa Melayu peringkat antarabangsa satu masa dulu. Tak malukah bila didalam persidangan tersebut, bangsa asing elok berbahasa Melayu atau cuba berbahasa Melayu sedangkan dia masih berbangga menggunakan bahasa penjajah itu. Mentaliti yang aku sendiri pun tak faham) Tun Mahathir terang-terangan berbahasa Inggeris dengan anak cucunya. Lihatlah adik beradik D.S Najib yang bila bercakap Melayu macam orang putih cakap Melayu. Hishamuddin Menteri Pelajaran macammana? Adakah dasar ini sebenarnya bertujuan untuk membela kepentingan anak-anak golongan ini tanpa menghiraukan kesannya keatas orang kebanyakan terutamanya orang-orang kampung? Berapa ramai lagi anak-anak kita yang harus menjadi mangsa semata-mata untuk memuaskan hati pembuat dasar?
Akhirulkalam cukup-cukuplah anak-anak kita menjadi mangsa dasar ini. Ubahlah demi masa depan anak-anak Melayu. Perkasakan penguasaan Bahasa Inggeris mereka tetapi jangan dikorbankan kedaulatan Bahasa Melayu yang menjadi asas utama kenapa kita masih digelar Melayu.Jangan sampai satu hari nanti generasi akan datang malu untuk mengaku sebagai orang Melayu kerana tiada apa yang nak dibanggakan menjadi seorang MELAYU. Ingatlah bahawa keputusan dan dasar pemerintah hari ini membentuk generasi akan datang sebagaimana masalah generasi hari ini berpunca dari dasar dan sistem yang digubal oleh pemerintah dahulu. BAHASA JIWA BANGSA. TANPA BAHASA ,BANGSA AKAN BERKUBUR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan