Sabtu, 14 Februari 2009

AlFatihah buat kenalanku

Hari ini aku terima berita pemergian seorang kenalanku bernama Jamaluddin ke Rahmatullah. Aku sebenarnya dah lama terputus hubungan dengan arwah dan bila dapat tahu rupanya arwah dah 5 bulan lepas meninggal dunia. Ketika hayatnya, arwah merupakan seorang pegawai polis yang banyak berbakti kepada negara.


Pemergian arwah menyebabkan aku terfikir adakah mana-mana rakyat Malaysia yang meratapi pemergian beliau selain ahli keluarga dan rakan taulan. Yang membuatkan aku terlintas difikiran ialah bila memikirkan bagaimana ratusan orang termasuk orang politik mengiringi mendiang Kugan yang mati dalam tahanan polis keperkuburan dan bagaimana kematiannya cuba dieksploitasi untuk kepentingan orang politik tak kira pemerintah atau pembangkang. Walaubagaimanapun tiada pula kematian anggota atau pegawai polis yang menjadi mangsa penjenayah dibela atau sekurang-kurangnya ditunjukkan rasa simpati oleh puak-puak ni. Kalau adapun,satu ruang kecil dimuka tengah akhbar untuk diletakkan berita tersebut.


Aku bukannya nak menyebelahi pihak polis dalam hal ni sebab jika benar Kugan didera hingga mati didalam tahanan polis ( yang setakat ini masih belum dibuktikan) maka mereka yang bertanggungjawab perlu diheret ke Mahkamah. Apa yang aku kesalkan ialah bagaimana berita yang dipaparkan dan komentar dari orang ramai termasuk orang politik yang nampaknya terus menyalahkan pihak Polis tanpa soal siasat. Kanun Prosedur Jenayah memperuntukkan bahawa setiap kematian dalam tahanan perlu dirujuk kepada koroner untuk dibuat siasatan kematian dan sepatutnya pihak-pihak ni menunggu laporan bedah siasat kedua dan keputusan koroner kelak .


Rakyat perlu faham bahawa Polis juga terikat dengan arahan dan peraturan. Mereka ada tugas yang perlu dilaksanakan untuk menjamin keselamatan orang ramai. Mereka juga ada maruah dan harga diri yag perlu dipertahankan dan aku nampak hal-hal ini gagal diberi perhatian seolah-olah polis ni robot tanpa perasaan.


Alfatihah buat Allahyarham Jamaluddin dan semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Tiada ulasan: