Isnin, 13 Oktober 2008

PEMBUKA KATA

Assalamualaikum,

Ini adalah merupakan catatan sulong saya didalam Blog ini. Segala catatan yang akan saya masukkan didalam Blog ni adalah hasil dari pengalaman,pengamatan dan pandangan yang saya kutip dari orang ramai yang rata-ratanya punya pendapat yang tersendiri berkaitan perkara-perkara yang berlaku disekeliling mereka samada politik,sosial,ekonomi dsb. Adalah amat menarik jika pandangan saya ini dapat saya kongsi bersama rakan-rakan lain yang turut berminat dengan isu yang dibincangkan.
POLITIK
Kebelakangan ini, isu yang terhangat dibualkan dimana-mana ialah isu peralihan kuasa dari Perdana Menteri kepada timbalannya. Sukar dipercayai apabila Pak Lah akhirnya tunduk kepada tekanan dari luar dan dalam parti supaya meletakkan jawatannya. Ini adalah merupakan satu sejarah yang tersendiri apabila seorang Perdana Menteri gagal mendapatkan kepercayaan dari rakyat dan terutama sekali dari ahli partinya iaitu UMNO. Saya sebenarnya masih ragu-ragu dengan niat sebenar Pak Lah kerana beliau mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat keputusan sedangkan desakan -desakan supaya beliau meletakkan jawatan telah lama dibuat terutamanya dari mantan P.M iaitu Tun Mahathir Mohamad yang mahukan beliau bertanggungjawab atas kegagalan yang dialami didalam oleh Barisan Nasional PRU 2008. Peralihan kuasa yang diwar-warkan ini juga masih pra matang kerana Najib akan ditentang oleh Ku Li dalam pemilihan Presiden UMNO dimana penjawat jawatan ini secara tradisinya akan mengetuai Barisan Nasional dan menjadi Perdana Menteri Malaysia . Ini juga belum mengambil kira usaha parti pembangkang untuk mengambil alih kepimpinan negara dimana ini tidak boleh sama sekali diperkecilkan. Apapun,saya percaya bahawa Pak Lah turut mengambil kira survival menantunya didalam arena politik tempatan sebelum membuat keputusan sebesar ini. Kita lihatlah perkembangan yang akan berlaku.
Adakah perlantikan Dato Seri Najib Tun Razak boleh mengembalikan kepercayaan dan sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional masih belum teruji. Perkembangan politik semasa menuntut seorang pemimpin yang berwibawa untuk mengawal dan mentadbir negara. Senario politik semasa juga mula menunjukkan keberanian pihak-pihak samada dari dalam dan luar Barisan Nasional mempersoalkan isu ketuanan dan hak istimewa orang melayu yang jika gagal diurus dengan bijak boleh mengundang keretakan hubungan kaum diMalaysia. Hubungan kaum ini perlu ditangani segera dan orang-orang bukan Melayu perlu sedar bahawa ada isu-isu yang dibangkitkan kebelakangan ini yang mula mengundang rasa tidak senang orang-orang Melayu. Ini belum diambilkira keadaan Ekonomi dunia yang tidak menentu dan Ekonomi negara yang mula menunjukkan kerapuhannya. Para pelabur luar mula menjauhkan diri dari Malaysia dan negara ini memerlukan pemimpin yang berupaya menarik minat pelabur luar untuk terus melabur di Malaysia. Adakah Najib punya keupayaan ini? Bolehkah beliau memahami kepayahan dan keperitan hidup rakyat yang tidak pernah dialaminya sendiri?
Umum mengetahui sejarah hidup Najib yang dilahirkan dalam keluarga bangsawan (born with a silver spoon). Pada usia muda beliau bertanding diparlimen Pekan sebagai warisan Marhum ayahandanya dan pada usia itu jugalah beliau mula meniti tangga kerjaya politiknya tanpa susah payah. Walaupun begitu, sejarah hidupnya penuh warna-warni dan dipenuhi dengan pelbagai skandal, tohmahan berkaitan kontrak-kontrak Kementerian Pertahanan yang berjumlah billionan ringgit dan cerita-cerita yang tidak enak tentang isteri kesayangan beliau (termasuklah kisah isterinya berlaga pipi dengan aktor Bollywood). Saya khuatir jika Najib dilantik sebagai Perdana Menteri, maka beliau akan menghabiskan masanya menangkis serangan-serangan pembangkang(dan juga dari dalam UMNO sendiri) keatas diri dan keluarganya dan terlupa untuk menumpukan perhatian keatas pentadbiran negara terutamanya dalam keadaan ekonomi dan politik yang rapuh yang ditinggalkan sebagai oleh Pak Lah kepadanya. Bersediakah orang Melayu Islam menerima Najib untuk memimpin mereka dan kembali kepada UMNO? Ini adalah merupakan cabaran yang akan dihadapinya dan saya melihat jalan yang akan dilalui olah Najib adalah jalan yang berliku dan penuh onak durinya.
Pemilihan diperingkat bahagian UMNO seluruh negara yang sedang berjalan sekarang ini masih mencerminkan sikap gila kuasa pimpinan UMNO yang sebenarnya tidak disenangi oleh orang Melayu. Isu politik wang, tekanan dan tipu helah oleh pihak tertentu didalam pemilihan dan pencalonan samada untuk jawatan presiden hinggalah kejawatan Ketua Puteri UMNO dipenuhi dengan unsur-unsur yang tidak sihat. Adakah rakyat bersedia untuk terus dipimpin oleh orang yang dilantik bukan berdasarkan kepada keupayaan dan kaliber tetapi berdasarkan kebolehannya memanipulasi keadaan, tipu daya dan berapa besar kantungnya. Pimpinan UMNO jelas masih gagal untuk mengambilkira petunjuk yang telah diberikan oleh rakyat terutamanya orang-orang Melayu dalam pilihanraya yang lalu. Keadaan politik dan Ekonomi yang gawat ini amat merunsingkan terutama dalam keadaan tekanan ekonomi semasa dan kos hidup yang semakin menghimpit rakyat. Saya berdoa semoga ada perubahan yang baik akan berlaku dan Allah mengurniakan negara bertuah ini dengan seorang pemimpin yang dapat membawa kita kelandasan yang betul.

Tiada ulasan: