Rabu, 15 Oktober 2008

MALAYSIA MEMANG KELAKAR

Sejak kebelakangan ini, rakyat Malaysia disajikan dengan berita-berita diakhbar yang amat menggelikan perut dan boleh menyebabkan pembaca ketawa terbahak-bahak hingga berguling diatas lantai. Saya sentiasa percaya dan berkeyakinan bahawa rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan keturunan mempunyai sense of humour yang tinggi dan dapat meghargai berita-berita ini sebagai penawar sakit darah tinggi dan lemah jantung akibat dari kos hidup yang tinggi dan harga barang keperluan yang melambung walaupun harga minyak dah diturunkan.


BERITA 1

Berita pertama yang amat melucukan ialah apabila Shah Rukh Khan dianugerahkan darjah kebesaranMelaka Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran datuk sempena hari jadi Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob. Alasan yang diberi oleh Ketua Menteri Melaka yang mewajarkan penganugerahan ini ialah kerana mengenang jasa aktor ini yang mempromosikan negara termasuk Melaka dalam filem One Two Ka Four . Kalaulah Sultan Melaka masih hidup lagi mesti jatuh tergolek tuanku mendengarkan berita ini. Apalah punya dangkalnya alasan yang diberikan oleh Kerajaan Melaka ni. Kot ia pun peminat setia Shah Rukh Khan tak perlulah sampai terkeluarnya alasan sebegini. Tidak hairanlah jika anugerah Dato di sesetengah negeri menjadi bahan ketawa orangramai dan tidak dipandang dengan penuh prestige dan penghormatan kepada penerima anugerah tersebut. Memang patutlah persatuan Seniman melompat dan mempersoalkan kewajaran anugerah ini sedangkan masih ramai lagi penggiat seni tempatan yang sepatutnya diiktiraf diatas jasa dan sumbangan mereka kepada negara. Menambahkan lagi kelucuan berita ini apabila MIC negeri Melaka tampil sebagai pahlawan dan mempertahankan keputusan kerajaan Negeri sambil membidas semua pihak yang mempertikaikan anugerah ini. Alasan mereka kerana pelakon ini dilihat sebagai seorang pelabur yang berjaya dibeberapa negara khususnya di India dan diharapkan pelakon tersebut akan melabur di Melaka dan membawa kemakmuran kepada negeri Hang Tuah tersebut. ( Harian Metro 15 OKT 2008). Ini lagi satu punya bebal. Sejak bila pulalah anugerah tertinggi negeri mengambilkira pencapaian penerimanya di luar negara yang tidak kena mengena sama sekali dengan jasanya kepada negara dan sejak bila pula anugerah ini digunakan sebagai alat untuk menarik pelaburan asing. Kerajaan Melaka sepatutnya mengkaji latarbelakang aktor ini yang jelas mempromosikan hiburan yang melampau.Beliau juga tidak menunjukkan contoh yang baik sebagai orang Islam apabila berkahwin dengan wanita berlainan agama, berlakon menyembah berhala dikuil Hindu dan berbangga memakai jaket berlambang salib ketika mengadakan persembahan di Pulau Pinang satu ketika dulu. Saya khuatir pengiktirafan kerajaan negeri ini akan menjadikan pelakon ini semakin dikagumi dan menjadi ikutan generasi muda secara membuta tuli terutama sekali apabila kerajaan negeri sendiri meletakkan kedudukannya ditempat yang tertinggi.


BERITA 2

Berita kedua yang melucukan apabila Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe mempertikaikan status status penduduk asal negara ini dengan mendakwa orang Melayu sebagai pendatang seperti Cina dan India. Dengan kata lain Tan menyamakan orang Melayu sebagai pendatang sebagaimana orang India dan Cina yang merupakan imigran kenegara ini. Saya percaya kenyataan ini dibuat lanjutan dari kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Datuk Ahmad Mantan Ketua UMNO Bukit Bendera mengenai status Orang Cina dan India di Malaysia dan dalam kepanasan pemilihan ketua Wanita Gerakan.

Kenyataan Tan ini telah dibidas dengan penuh sopan santun oleh Y.B Dato Seri Hishamuddin yang menegur supaya Tan berhati-hati didalam mencari populariti. Mengulas lanjut mengenai perkara ini Y.A.B Perdana Menteri menyatakan bahawa Barisan Nasional belum bercadang untuk mengambil tindakan terhadap dan Tan perlu diberi peluang untuk menjelaskan apa yang dimaksudkan olehnya. Ketika Datuk Ahmad menimbulkan isu orang Cina sebagai pendatang,Gerakan terus melompat dan meminta tindakan diambil keatas beliau kerana mengeluarkan kenyataan berbau perkauman dan mengguris hati kaum lain. Sebagai rakan didalam Barisan Nasional maka UMNO tanpa teragak-agak terus mengambil tindakan terhadap Dato Ahmad. Nah, sekarang isu yang sama datangnya dari Gerakan pula tetapi nampaknya tiada pula Gerakan mengeluarkan apa-apa kenyataan. Tidakkah ini menunjukkan bahawa Gerakan merupakan parti pro Cina dan tidak melambangkan parti pelbagai kaum yang memperjuangkan kepentingan semua kaum. Nampaknya juga layanan yang berbeza diberi oleh Perdana Menteri atas isu yang sama. Adakah ini bermakna hanya orang melayu yang boleh bersifat perkauman dan perlu berhati-hati apabila hendak bercakap sedangkan bangsa lain boleh bercakap sesuka hati mereka tanpa mengambil kira samada kenyataan mereka boleh mengguris hati orang Melayu. Datuk Tan perlu dihantar semula kesekolah untuk belajar sejarah.

Malaysia ini telah sekian lama ditadbir oleh orang Melayu (dari kelompok Nusantara) sejak zaman purbakala lagi semenjak dari kewujudan kerajaan Langkasuka, Kedah Tua, Gangga Negara dan sebagainya dan bukan hanya bermula dari kerajaan melayu Melaka. Asas orang Melayu bermula dari kerajaan-kerajaan ini dan orang-orang Melayu diketahui sering merantau dari satu tempat ke tempat yang lain. Nusantara (Malaysia, Indonesia,Brunai,Filipina,Thailand) adalah satu rumpun yang sama dan penghijrahan dari satu tempat ketempat yang lain masih dalam kitaran rumpun yang sama tidak seperti orang-orang Cina dan India yang terasing dari rumpun Melayu. Kalau Datuk Tan cuba mempersoalkan hak istimewa orang Melayu maka eloklah dimaki sahaja datuk nenek mereka yang bersetuju dengan prinsip ini ketika Malaysia hendak mencapai kemerdekaan sebagai tukaran kepada persetujuan orang Melayu menerima mereka sebagai rakyat Malaysia. Kita tengoklah apa tindakan yang akan diambil oleh Barisan Nasional terhadap Datuk Tan atau perkara ini akan dilupakan sahaja sebagaimana yang dijangka. Eloklah tu. Kera dihutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan. Anak orang ditimang-timang,anak sendiri dibelasah. Hati dan perasaan orang Melayu tidak perlu dijaga apabila melibatkan pertembungan dengan kaum lain.

Isnin, 13 Oktober 2008

PEMBUKA KATA

Assalamualaikum,

Ini adalah merupakan catatan sulong saya didalam Blog ini. Segala catatan yang akan saya masukkan didalam Blog ni adalah hasil dari pengalaman,pengamatan dan pandangan yang saya kutip dari orang ramai yang rata-ratanya punya pendapat yang tersendiri berkaitan perkara-perkara yang berlaku disekeliling mereka samada politik,sosial,ekonomi dsb. Adalah amat menarik jika pandangan saya ini dapat saya kongsi bersama rakan-rakan lain yang turut berminat dengan isu yang dibincangkan.
POLITIK
Kebelakangan ini, isu yang terhangat dibualkan dimana-mana ialah isu peralihan kuasa dari Perdana Menteri kepada timbalannya. Sukar dipercayai apabila Pak Lah akhirnya tunduk kepada tekanan dari luar dan dalam parti supaya meletakkan jawatannya. Ini adalah merupakan satu sejarah yang tersendiri apabila seorang Perdana Menteri gagal mendapatkan kepercayaan dari rakyat dan terutama sekali dari ahli partinya iaitu UMNO. Saya sebenarnya masih ragu-ragu dengan niat sebenar Pak Lah kerana beliau mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat keputusan sedangkan desakan -desakan supaya beliau meletakkan jawatan telah lama dibuat terutamanya dari mantan P.M iaitu Tun Mahathir Mohamad yang mahukan beliau bertanggungjawab atas kegagalan yang dialami didalam oleh Barisan Nasional PRU 2008. Peralihan kuasa yang diwar-warkan ini juga masih pra matang kerana Najib akan ditentang oleh Ku Li dalam pemilihan Presiden UMNO dimana penjawat jawatan ini secara tradisinya akan mengetuai Barisan Nasional dan menjadi Perdana Menteri Malaysia . Ini juga belum mengambil kira usaha parti pembangkang untuk mengambil alih kepimpinan negara dimana ini tidak boleh sama sekali diperkecilkan. Apapun,saya percaya bahawa Pak Lah turut mengambil kira survival menantunya didalam arena politik tempatan sebelum membuat keputusan sebesar ini. Kita lihatlah perkembangan yang akan berlaku.
Adakah perlantikan Dato Seri Najib Tun Razak boleh mengembalikan kepercayaan dan sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional masih belum teruji. Perkembangan politik semasa menuntut seorang pemimpin yang berwibawa untuk mengawal dan mentadbir negara. Senario politik semasa juga mula menunjukkan keberanian pihak-pihak samada dari dalam dan luar Barisan Nasional mempersoalkan isu ketuanan dan hak istimewa orang melayu yang jika gagal diurus dengan bijak boleh mengundang keretakan hubungan kaum diMalaysia. Hubungan kaum ini perlu ditangani segera dan orang-orang bukan Melayu perlu sedar bahawa ada isu-isu yang dibangkitkan kebelakangan ini yang mula mengundang rasa tidak senang orang-orang Melayu. Ini belum diambilkira keadaan Ekonomi dunia yang tidak menentu dan Ekonomi negara yang mula menunjukkan kerapuhannya. Para pelabur luar mula menjauhkan diri dari Malaysia dan negara ini memerlukan pemimpin yang berupaya menarik minat pelabur luar untuk terus melabur di Malaysia. Adakah Najib punya keupayaan ini? Bolehkah beliau memahami kepayahan dan keperitan hidup rakyat yang tidak pernah dialaminya sendiri?
Umum mengetahui sejarah hidup Najib yang dilahirkan dalam keluarga bangsawan (born with a silver spoon). Pada usia muda beliau bertanding diparlimen Pekan sebagai warisan Marhum ayahandanya dan pada usia itu jugalah beliau mula meniti tangga kerjaya politiknya tanpa susah payah. Walaupun begitu, sejarah hidupnya penuh warna-warni dan dipenuhi dengan pelbagai skandal, tohmahan berkaitan kontrak-kontrak Kementerian Pertahanan yang berjumlah billionan ringgit dan cerita-cerita yang tidak enak tentang isteri kesayangan beliau (termasuklah kisah isterinya berlaga pipi dengan aktor Bollywood). Saya khuatir jika Najib dilantik sebagai Perdana Menteri, maka beliau akan menghabiskan masanya menangkis serangan-serangan pembangkang(dan juga dari dalam UMNO sendiri) keatas diri dan keluarganya dan terlupa untuk menumpukan perhatian keatas pentadbiran negara terutamanya dalam keadaan ekonomi dan politik yang rapuh yang ditinggalkan sebagai oleh Pak Lah kepadanya. Bersediakah orang Melayu Islam menerima Najib untuk memimpin mereka dan kembali kepada UMNO? Ini adalah merupakan cabaran yang akan dihadapinya dan saya melihat jalan yang akan dilalui olah Najib adalah jalan yang berliku dan penuh onak durinya.
Pemilihan diperingkat bahagian UMNO seluruh negara yang sedang berjalan sekarang ini masih mencerminkan sikap gila kuasa pimpinan UMNO yang sebenarnya tidak disenangi oleh orang Melayu. Isu politik wang, tekanan dan tipu helah oleh pihak tertentu didalam pemilihan dan pencalonan samada untuk jawatan presiden hinggalah kejawatan Ketua Puteri UMNO dipenuhi dengan unsur-unsur yang tidak sihat. Adakah rakyat bersedia untuk terus dipimpin oleh orang yang dilantik bukan berdasarkan kepada keupayaan dan kaliber tetapi berdasarkan kebolehannya memanipulasi keadaan, tipu daya dan berapa besar kantungnya. Pimpinan UMNO jelas masih gagal untuk mengambilkira petunjuk yang telah diberikan oleh rakyat terutamanya orang-orang Melayu dalam pilihanraya yang lalu. Keadaan politik dan Ekonomi yang gawat ini amat merunsingkan terutama dalam keadaan tekanan ekonomi semasa dan kos hidup yang semakin menghimpit rakyat. Saya berdoa semoga ada perubahan yang baik akan berlaku dan Allah mengurniakan negara bertuah ini dengan seorang pemimpin yang dapat membawa kita kelandasan yang betul.