Jumaat, 7 Mei 2010

macam-macam hal Malaysia ni

Lama sungguh aku tak menukilkan pandangan dan perasaan aku dalam blog ni...Entah hantu mana yang merasuk perasaan aku malam tadi hingga aku terpanggil untuk menjenguk semula ruang ini yang membenarkan aku berbicara sesuka hatiku. kebelakangan ini banyak sungguh peristiwa yang melanda negara yang membuatkan aku terfikir bilakah pula pemimpin dan rakyat hendak menumpukan fikiran kepada usaha pemulihan ekonomi dan menaiktaraf hidup rakyat. Bercakap tentang pemulihan ekonomi, dalam rakyat disuruh bercermat, ratusan juta dilempar sesuka hati di Hulu Selangor. Bermacam janji dan faedah disogokkan...tidakkah kita tertanya,kalau duit itu sumbernya dari dana persekutuan, maka adakah kesemuanya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Audit Negara. Contohnya peneroka Felda Sg Buaya yang tanah mereka diambil oleh syarikat yang telah digulungkan atau bahasa yang biasa difahami ialah bangkrap, apakah status wang yang dijanjikan akan dibayar kepada mereka oleh kerajaan. Bayaran ini akan diletakkan sebagai perbelanjaan apa sedangkan kerajaan tiada kaitan dengan projek yang lingkup itu.Lagi satu isu, kalau pampasan dibayar oleh kerajaan, adakah peneroka akan tetap tinggal ditanah tersebut atau tanah mereka akan terserah kepada kerajaan. Ini bukan pengambilan balik tanah dibawah Land Acquisition act dimana pemilik dipaksa menyerah tanah dengan dibayar pampasan untuk kepentingan pembangunan prasarana. Jadi apa akan terjadi kepada tanah tersebut. Kalau peneroka kekal sebagai pemilik, maka wang itu bukan lagi pampasan tetapi entah apa statusnya...wang derma atau wang sedekah atau entah????????? Kerajaan tidak boleh ambil tanah tersebut kerana tiada undang-undang yang membenarkan kerajaan berbuat demikian. Dengan kata lain kerajaan persekutuan tidak boleh menjadi tuanpunya tanah dan menukar status kepada tanah persekutuan.....ingat ,ini tanah dalam negeri selangor dan dibawah perlembagaan ianya adalah dibawah kuasa kerajaan negeri. Syarikat yang dah bangkrap itu tiada lagi dalam ini gambar sebab syarikat yang dah digulung tidak boleh memiliki harta lagi dan harta syarikat sekarang ditadbir oleh Jabatan Insolvensi...makanya apa nak jadi ni? Apapun peneroka dan pemilik tanah baru diberi RM1000 sahaja. yang bakinya kita tunggu saje lah.. Apapun, benda ni sentiasa bersarang didalam kepala otak aku yang macam takde benda lain dah nak pikir...mungkin ada kutu lain yang boleh tolong jawabkan.

Bercakap tentang jimat cermat juga,pemimpin samada pemimpin-pemimpin politik ataupun ketua-ketua jabatan janganlah jadikan ini sebagai retorik semata-mata. Dalam nak berjimat cermat ni lah, berlaku pembaziran apabila pejabat-pejabat kerajaan yang tidak perlu diubahsuai, diubahsuai sekadar nak menurut kehendak ketua jabatan yang kerjanya tak lain hanya nak membodek dan membazir.


BERITA SEDIH MENYAYAT HATI

Ini pulak tentang kisah sedih menyayat hati tentang arwah Aminulrashid yang meninggal akibat ditembak oleh Polis. Kisahnya arwah ni telah memandu sambil dikejar oleh pihak polis dan oleh kerana enggan berhenti maka pihak polis telah menembak tayar kereta yang dipandunya. Dari awal berita yang dipapar di media kelihatannya arwah telah mengundurkan keretanya kearah polis hingga menyebabkan pihak polis tiada pilihan lain selain terpaksa melepaskan tembakan.Kemudian tampil pula rakan arwah yang ada bersamanya ketika kejadian membawa versi yang berlainan. Aku pun pening memikir hal ini. Adakah ini bermakna anggota polis yang terlibat telah membuat lapuran palsu yang tentunya merupakan satu kesalahan dibawah Kanun Kesiksaan. Kalau begitu apa pula keadaan yang membawa ancaman pada nyawa mereka hingga membolehkan tembakan dilepaskan kearah arwah. Nyata sekali ada yang tidak kena dalam hal ini. Aku akui tugas polis kian mencabar. Penjenayah semakin berleluasa dan rakyat merasa semakin tidak selamat.Ancaman sentiasa ada dimana -mana dalam mereka menjalankan tugas saban waktu. Kalau dilihat sebagaimana yang tersiar didada akhbar saban hari,kadar jenayah berada pada tahap yang amat menggerunkan terutama jenayah kekerasan yang melibatkan senjata api.Peranan pihak polis semakin diperlukan rakyat dalam menjaga keamanan negara. Walaubagaimanapun dalam kes arwah ni, tiada tembakan dilepaskan dari kereta yang dikejar,malahan kalaupun betul arwah mengundurkan keretanya, tugas polis ialah untuk mengejar dan menangkap pelaku kesalahan selama mana tiada kesalahan jenayah kelihatan dilakukan pada masa itu.Apatah lagi dalam kes ini, angota polis yang terlibat adalah anggota tugas am dan ini bukan satu operasi terancang dari bahagian Jenayah Berat yang mungkin terlebih dahulu telah mengumpul maklumat bahawa ada kemungkinan ancaman akan hadir dari kenderaan yang dipandu arwah. Apapun aku simpati dengan keluarga arwah apatah lagi ibu bapa arwah. Tiada perkataan yang aku rasa mampu aku luahkan sebab aku tak boleh nak bayangkan apa akan aku rasakan kalau aku ditempat mereka dan arwah itu adalah darah daging aku yang aku besarkan dihadapan mataku. Apa rasanya kalau zuriat kita direntap begitu sahaja atas kelalaian dan sikap gopoh dan semberono orang lain. Aku harap pihak polis kena ambilkira perasaan keluarga arwah dan janganlah sesuka hati buat kenyataan dimedia yang boelh mentinggung perasaan mereka. Kalau dah memang berlaku kesilapan atau kecuaian, mengaku sajalah dan bayar gantirugi kepada keluarga arwah...